Thursday, July 21, 2022

UNIT 13: ISU-ISU DALAM FALSAFAH DAN DASAR PERUNDANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

KONSEP ISU DAN CABARAN

Menurut Kamus Dewan (2007), isu merujuk kepada perkara pokok atau persoalan yang dibincangkan. Cabaran pula merujuk kepada sesuatu unsur atau faktor yang menguji kemampuan dan ketabahan sesuatu organisasi.

Misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM):

Untuk membangunkan potensi individu melalui pendidikan berkualiti, dengan memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 pada 11 September 2012.

Objektif Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025:

1. Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia berfokuskan penambahbaikan akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta memaksimumkan keberkesanan sistem.

2. Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan setiap murid bagi 13 tahun yang seterusnya sehingga tahun 2025.

3. Menggariskan program transformasi yang menyeluruh untuk sistem Pendidikan, termasuk perubahan utama dalam KPM, yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan baharu dan jangkaan yang meningkat serta menyokong transformasi perkhidmatan awam.

Sejak tahun 1997, dua cabaran pendidikan alaf baru kerap yang diutarakan ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan diatasi untuk membentuk masyarakat madani.

 

1.0 ISU DAN CABARAN FALSAFAH PENDIDIKAN KE ARAH MELAHIRKAN WARGANEGARA YANG CEMERLANG

1.1 CABARAN GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN

Definisi Globalisasi:

Proses yang membolehkan sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan dsb) disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia, terutamanya dengan adanya kemudahan sistem komunikasi, dasar terbuka dsb. Dalam konteks pendidikan,  globalisasi ialah proses mengenepikan sekatan untuk mewujudkan dunia terbuka tanpa sempadan. Globalisasi boleh membawa kepada kesan buruk antaranya dunia semakin jauh dengan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Globalisasi memberi kesan sekulariasi dan liberalisasi kepada sesebuah negara. Sekularisasi memisahkan manusia dengan agama manakala liberalisasi membawa serangan dari segi pemikiran dan budaya yang muncul daripada fahaman hak kebebasan manusia seperti hak berucap, hak menerbit atau menulis, hak memilih agama dan sebagainya. Tahap penghayatan dan pengamalan terhadap nilai-nilai murni semakin berkurangan dalam diri manusia disebabkan rakus mengejar nikmat dunia. Trend globalisasi telah mencetuskan pelbagai cabaran dalam pelaksanaan pendidikan di Malaysia sebagai tindak balas kepada keterbukaan idea mengenai keperluan pendidikan dalam meningkatkan kualiti hidup. Antara cabaran tersebut dari segi:

a) Keperluan terhadap pembelajaran berterusan

b) Inovasi dalam pelaksanaan kurikulum

c) Penggunaan teknologi telekomunikasi dan maklumat

d) Pengurusan Pendidikan

e) Pembentukan jati diri pelajar

f) Kualiti guru

 

1.2 PENGARUH PERKEMBANGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) telah mencapai satu tahap di mana pengaruhnya dapat dilihat di dalam kehidupan manusia. Namun era globalisasi dan modenisasi yang berlaku telah memberikan kesan negatif, khususnya kepada para remaja. Kehidupan global menyebabkan kebanjiran maklumat, akses yang mudah kepada dunia hiburan, layaran mudah bahan-bahan porno melalui internet dan kehidupan alam siber menjadikan remaja terlibat dalam gejala negatif. Cabaran teknologi maklumat mendatangkan kemudaratan terutamanya kepada golongan remaja yang sedang mengalami perubahan diri. Golongan remaja yang terdedah kepada pelbagai pengaruh serta tekanan luar kebanyakkannya terjerumus kepada perkara negatif. Rentetan daripada itu, kecanggihan teknologi menyebabkan berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja, contohnya menonton video lucah, memuat naik gambar-gambar lucah menerusi telefon bimbit, menyimpan gambar lucah, mengadakan hubungan luar nikah, merogol dan sebagainya. Antara faktor penyebab gejala sosial ialah sikap ibu bapa dan cara mendidik anak-anak, sikap pelajar, pengaruh media massa, iklim bilik darjah, dan pengaruh rakan sebaya.

 

1.3 SEKULARISME DAN DUALISME

Sekularisme bermaksud pemisahan agama daripada kehidupan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sekularisme ialah faham (doktrin, pendirian dan sebagainya) yang menolak atau memisahkan agama atau ciri-ciri keagamaan daripada urusan-urusan dan tidak bersangkutan dengan agama (seperti pentadbiran awam dan lain-lain). Sistem Pendidikan sekularisme telah mewujudkan dualisme di dalam konsep pendidikan, yang berbeza dengan konsep pendidikan bersepadu.

Dualisme

Konsep Pendidikan Bersepadu

Memisahkan antara pengajaran agama dan disiplin akal yang lain

Mengimbangi pembinaan akal, jasad, kerohanian dan akhlak

 

Sekularisme dan dualisme telah banyak meninggalkan kesan dalam sistem pendidikan kini. Akibat penjajahan Inggeris, sistem pendidikan yang dibawa Inggeris sedikit sebanyak tetap menjadi amalan. Antaranya ialah pengasingan sekolah agama dan bukan agama, penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dengan mengenepikan tulisan Jawi dan Bahasa Arab, bantuan penghantaran pelajar ke Barat yang lebih ramai berbanding ke Timur Tengah.


2.0 ISU DAN CABARAN DALAM PERLAKSANAAN DASAR-DASAR PENDIDIKAN KEARAH PENDEMOKRASIAN DALAM PENDIDIKAN


2.1 KONSEP PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN

  Ø   Apabila memberi pengertian berkaitan dengan pendemokrasian pendidikan ini, skopnya luas dan subjektif. Menurut Shaik Mohd Noor (1993), pengertian demokrasi ialah Social equality and respect for the individual. Beliau juga menyatakan bahawa, pendemokrasian sebagai prinsip-prinsip kesamarataan hak-hak sosial setiap individu yang menganggotai sesuatu masyarakat. Oleh itu, secara simplistic dapat disimpulkan bahawa pendemokrasian pendidikan adalah hak samarata bagi setiap individu dalam proses pendidikan, pengajaran dan pembelajaran yang telah disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan di sesebuah negara. Ini sekali gus, memberi gambaran bahawa tidak ada wujud sebarang diskriminasi individu dalam bidang pendidikan di semua peringkat.
 Ø    Manakala menurut Modul Pembelajaran Kursus Pengajian Profesional : Guru dan Cabaran semasa (2013), Pendemokrasian Pendidikan merujuk kepada penyediaan peluang yang terbuka untuk setiap orang memperoleh kejayaan dalam pendidikan dan menjadikan pendidikan sebagai ejen bagi meningkatkan kerjayaan dan kualiti hidup. Selain itu, pendomokrasian pendidikan bukan sahaja sekadar pendemokrasian, malah hak yang sama rata dari segi peluang mendapakan pendidikan yang bermutu (Democratization of access to quality education).


2.2 DASAR-DASAR PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA


2.2.1 PERLAKSANAAN PENDIDIKAN WAJIB PADA PERINGKAT ASAS.

Ø Pendidikan wajib pada peringkat asas adalah berkaitan dengan sistem pendidikan kebangsaan iaitu Pendidikan Prasekolah. Pendidikan Prasekolah ini bertujuan untuk memastikan murid yang berumur empat (4) hingga (6) tahun mengembangkan potensi secara menyeluruh dengan menguasai kemahiran asas sosial seperti asas komunikasi, asas sosial dan kemahiran lain  positif dari aspek fizikal, kognitif, emosi, rohani dan nilai estetika.


2.2.2 PERLAKSANAAN  SEKOLAH VERNAKULAR (SEKOLAH TAMIL & CINA).

Ø Sekolah berasaskan kaum di Malaysia. Sekolah ini terbahagi 2 iaitu SJK (Cina) dan SJK (Tamil). Asalnya sekolah ini dibiayai oleh masyarakat Cina, masyarakat India dan pentadbiran British. Namun kini sekolah jenis ini dan Sekolah Kebangsaan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan dikira sebagai sekolah bantuan kerajaan.


2.2.3 PENDIDIKAN SELAMA 13 TAHUN.

Ø Bagi meneruskan agenda pendemokrasian pendidikan, pendidikan sarwajagat telah dilanjutkan kepada 11 tahun walaupun bukan secara automatis, iaitu dengan meletakkan syarat yang jauh lebih mudah dan longgar dari sebelumnya. Kini, dengan keputusan yang paling minimum seseorang pelajar boleh meneruskan pendidikan formalnya ke Tingkatan Empat walaupun dengan keputusan yang tersebut beliau sebelumini dikira tidak layak ke Tingkatan Empat dan langkah pelaksanaan ini adalah selaras dengan dengan perakuan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, 1979.


2.2.4 SEKOLAH TEKNIKAL, ASRAMA PENUH, PENDIDIKAN KHAS, SWASTA DAN SEKOLAH AGAMA.

Ø Pendidikan menengah atas disediakan kepada murid-murid berumur 16 hingga 17 tahun (Tingkatan Empat hingga Tingkatan Lima) menjurus kepada aliran sastera, sains, agama, teknik, vokasional dan kemahiran termasuk menyediakan murid-murid untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi atau alam pekerjan. Hal ini, untuk memastikan murid mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, kreatif, inovatif, mempunyai nilai jati diri kenegaraan yang tinggi serta menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa utama, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Manakala, Program pendidikan bagi murid berkeperluan khas pula adalah yang sesuai dan relevan dengan kebolehan masing-masing agar dapat berdikari di samping memastikan murid berkeperluan khas yang berpotensi diberi peluang untuk ditempatkan secara inklusif di dalam kelas arus perdana selaras dengan prinsip pendidikan untuk semua.


2.2.5 PELUANG PENDIDIKAN JARAK JAUH (PJJ) PERINGKAT TINGGI.

Ø Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) telah diperkenalkan seiring dengan Agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang diperkenalkan oleh kerajaan dibawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) dan Pelan Induk Pembudayaan PSH 2011-2020. Pelan ini bertujuan untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat peluang pendidikan tanpa mengira peringkat umur, latar belakang pendidikan dan lokasi pembelajaran.

Ø Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan Korea Selatan, PSH dijadikan elemen pendidikan untuk melahirkan modal insan relevan dengan kehendak industri. Bagi mencapai status negara maju, PSH menjadi salah satu pemangkin kerajaan untuk mencapai status ekonomi penduduk berpendapatan tinggi.

Ø Walau bagaimanapun, PSH ini tidak akan dapat direalisasikan dengan sistem pendidikan sedia ada akibat daripada pelbagai kekangan terutamanya dalam kalangan mereka yang telah pun berkerjaya. Justeru itu, Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) telah diperkenalkan dan ditawarkan oleh beberapa buah universiti awam dan swasta bagi menyediakan peluang kepada warganegara Malaysia terutamanya yang bekerja untuk memperbaiki kualiti hidup melalui peningkatan pendidikan yang lebih tinggi.


2.2.6 PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT.

ØPendidikan sepanjang hayat merupakan satu proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kemajuan diri seseorang individu secara berterusan tanpa mengira batasan umur. Secara idealnya, proses pembelajaran berpusatkan pelajar yang diamalkan pada masa kini menuntut pelajar, sama ada pelajar dewasa mahupun pelajar tradisional saling berinteraksi dan berkomunikasi secara aktif antara satu sama lain.

 

2.3 DALAM PERLAKSANAAN PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN TERDAPAT BEBERAPA CABARAN YANG PERLU DIHADAPI IAITU :

1. Penyediaan  infrastruktur yang  lengkap  dan  mencakupi  untuk  semua pelajar.

2. Kemudahan asassekolah dari segi bilangan bilik darjah, buku teks, pusat sumber dan sebagainya.

3. Sumber tenaga kerja(bilangan guru siswazah dan bukan siswazah).

 

3.0 ISU DAN CABARAN DALAM PELAKSANAAN SISTEM PENDIDIKAN KE ARAH MEMACU PENDIDIKAN MALAYSIA BERTARAF DUNIA.


3.1 CABARAN DALAM KEPROFESIONALAN GURU

· Sistem pendidikan Malaysia amat sinonim dengan peranan seorang guru bagi menggerakkan kontigensi Pelan Pembangunan Pendidikan.

“Teachers are the most valuable resource available in schools, and low-performing students need qualified teachers to help them to improve. PISA finds that low performers in matemathics are more likely than students who perform at or above   baseline Level 2 to attend school that suffer from lack qualified teachers” (Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), 2016: 160).

· Kemahiran seorang guru terletak pada pendekatan pedagogi yang bersesuaian dalam pengajaran dan pembelajaran.

· Noraini Idris dan Shuki Osman (2009) ada mengatakan bahawa pengajaran merupakan sesuatu aktiviti yang kompleks dalam situasi dinamik.

· Kemahiran pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang jitu merupakan ciri guru berkualiti.

· Mohd. Nasiruddin Abd. Nasil (2012) menyokong bahawa bidang pertama yang ditekankan selain kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah kualiti guru.

· Namun demikian, kelemahan seorang guru dapat dilihat apabila berusaha mengkhatamkan sukatan pelajaran semata-mata.

· Guru sepatutnya sebagai pembimbing bukan seperti spoon feeding yang hanya memberi impak sifat kebergantungan dalam diri pelajar.

· Menjadi cabaran sistem pendidikan Malaysia apabila terdapat guru bukan opsyen bukan kemahiran bidang sebenar mengajar matapelajaran seperti Matematik dan Sains menyebabkan pendekatan pedagogi sukar diaplikasikan.

· Kajian juga ada membuktikan bahawa guru-guru yang berpengalaman dalam bidang Matematik lebih berpengetahuan tinggi isi kandungan pedagogi berbanding yang sebaliknya (Tengku Zawawi Tengku Zainal, Ramlee Mustapha dan Abdul Razak Habib, 2009).

· Apabila perkara tersebut berlanjutan, maka dapat dilihat secara jelas pencapaian pentaksiran antarabangsa di Malaysia akan berterusan berada di ambang kemerosotan yang kritikal kerana menurut Khadijah Abdullah (2014) ada menyatakan bahawa 60 peratus daripada 410,000 guru pada hari ini kekal mengajar 20 tahun akan datang.

· Guru yang sukar mengawal bilangan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak memberikan kesan efektif.

· Perkara tersebut akan menjejaskan konsentrasi pelajar di dalam kelas malahan mempengaruh prestasi pentaksiran antarabangsa iaitu PISA dan TIMSS.

· Mohd Hasani Dali dan Mohd Johdi Salleh (2009) merumuskan bahawa kegagalan guru untuk mengawal atmosfera kelas menyebabkan seluruh atau sebahagian pembelajaran tidak dapat memberi kefahaman kepada pelajar.


3.2 CABARAN CIRI-CIRI PELAJAR


3.2.1 Gender

· Kajian OECD membuktikan bahawa Malaysia menduduki tempat ke-59 daripada 74 buah negara dalam penyertaan penilaian antarabangsa PISA (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013).  

· Muncul pula keputusan kajian Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) pada tahun 2011 menunjukkan penurunan prestasi Malaysia mendadak empat kali penilaian daripada tahun 1999.

· Menurut salah satu laporan OECD (2016), prestasi lemah dalam penilaian tersebut disebabkan oleh faktor demografi pelajar iaitu gender.

· Berikutan keputusan tersebut dapat dijelaskan bahawa sistem pendidikan Malaysia berhadapan cabaran perbezaan gender pelajar dari aspek pemikiran dan sikap khususnya.

· Kementerian Pendidikan Malaysia (2013) menunjukkan bahawa jurang prestasi antara gender melebar dan signifikan meningkat.

· Hal demikian disebabkan pemikiran terhadap pembelajaran.  

· Bharath Sriraman (2008) turut berpendapat bahawa perbezaan gender dari aspek pembelajaran mempengaruhi prestasi seseorang individu.

· Purata OECD juga mencatatkan murid lelaki kebanyakkan memperoleh tahap pencapaian rendah dalam Bacaan dan Sains berbanding perempuan.


3.2.2 Sikap

· Dari aspek sikap pelajar dapat dilihat dalam kajian Mohamad Yusof Endut (2011) yang membanding beza minat antara jantina terhadap matapelajaran matematik dari aspek pengajaran guru.

· Kajian ahli akademik tersebut menyatakan bahawa pelajar lelaki gemar matapelajaran matematik apabila guru menyelitkan kecindan berbanding perempuan cenderung untuk cemerlang apabila guru bersikap mesra.

· Sikap pelajar terhadap terhadap Matematik khususnya amat mempengaruhi keputusan PISA dan TIMSS (OECD, 2016).


3.2.3 Status Sosioekonomi

“Kementerian menyedari bahawa perbezaan status sosioekonomi menimbulkan   cabaran besar bagi mencapai kesamarataan dalam keberhasilan pendidikan” (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013: 95).

· Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah menunjukkan antara cabaran sistem pendidikan Malaysia dalam merealisasikan hasrat sepertiga teratas juga berakar umbi daripada status sosioekonomi pelajar.

· Buktinya, dalam taburan populasi murid yang menerima KWAMP mengikut band sekolah juga memaparkan sekolah lemah kebanyakkan pelajar yang menerima bantuan kewangan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013).

· Pelajar yang berprestasi lemah berlatarbelakangkan pendapatan keluarga yang rendah.

· Rentetan itu, ibu sukar menyediakan keperluan kewangan untuk tujuan pendidikan.

· Sosioekonomi pelajar amat berhubung kait dengan prestasi masing-masing. Kesan daripada jurang status sosioekonomi akan merencatkan iltizam ke arah kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa.


3.3 CABARAN MENINGKATKAN PRASARANA SEKOLAH

· Sejak kebelakangan ini, sistem pendidikan Malaysia tidak lekang diberikan peruntukkan perbelanjaan setiap kali pembentangan bajet tahunan.

· Malahan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengakuri bahawa perbelanjaan pendidikan awam di Malaysia melebihi dua kali ganda Keluran Kadar Negara Kasar (KDNK) negara-negara ASEAN dan OECD (Zairil Khir Johari, 2014).

· Dalam pada itu, tiada keberhasilan yang jelas dapat dibuktikan pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa apabila berada kedudukan tercorot sepertiga terbawah.

· Sejajar itu, menjadi cabaran terhadap sistem pendidikan Malaysia untuk meningkatkan prasarana sekolah dengan mengoptimumkan perbelanjaan pendidikan demi merealisasikan hasrat kedudukan sepertiga teratas dalam penilaian antarabangsa. Mekanisme mengoptimumkan perbelanjaan hendaklah dengan memberi keutamaan kawasan pedalaman untuk meningkatkan prasana sosial.

· Andreas Schleicher (2016) ada menjustifikasikan bahawa kemudahan infrastruktur yang rendah natijah kelemahan prestasi pelajar dalam penilaian antarabangsa TIMSS dan PISA.

· Berdasarkan Laporan Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM juga menyenaraikan sepuluh sekolah berprestasi rendah dalam Bacaan ujian PISA terdiri daripada sekolah luar bandar.

· Sufean Hussin (2014) turut berpendapat bahawa kedaifan kawasan pedalaman dari aspek infrastruktur menjadi suatu cabaran kepada sistem pendidikan di Malaysia.

· Tambahan pula, Mohd Erfy Ismail, Mohd Ali Samsudin dan Ahmad Nurulazam Md Zain (2014) ada menjelaskan bahawa pelajar yang dilengkapkan dengan kemudahan infrastruktur di sekolah akan mempengaruhi sikap terhadap pembelajaran Sains (subjek yang dititikberatkan dalam penilaian antarabangsa TIMSS dan PISA).


3.4 CABARAN KELEMAHAN KURIKULUM PENDIDIKAN (SISTEM PEPERIKSAAN)

· Sistem pendidikan Malaysia yang dikatakan berpusatkan peperiksaan menyebabkan pelajar kurang mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi.

· Malahan, sistem peperiksaan yang bersifat ramalan topik dan sub-topik menyebabkan pelajar cenderung untuk mempraktik teknik penghafalan jawapan semata-mata.

· Sistem peperiksaan di Malaysia menunjukkan kontradiksi kerana PISA dan TIMSS memerlukan kemahiran penakulan dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) untuk menyelesaikan masalah secara realistik.

· Kajian PISA dan TIMSS pada tahun 2012 terhadap sistem pendidikan di Malaysia berpunca daripada kelemahan mengaplikasikan pengetahuan sedia ada menyelesaikan masalah rutin kehidupan.

· Bertitik tolak daripada itu, telah menjadi halangan untuk sistem pendidikan Malaysia merealisasikan hasrat menduduki sepertiga teratas dalam penilaian antarabangsa.


3.5 CABARAN MENTALITI TERTUTUP KALANGAN MASYARAKAT

· Saban hari, tidak dapat menafikan peperiksaan awam Malaysia meningkat setiap tahun yang tidak pernah mengecewakan.

· Sehubungan itu, mentaliti mujtamak di Malaysia sehingga abad ke-21 masih kekal dengan menjulang kecemerlangan bilangan A pelajar dalam peperiksaan awam berbanding kemahiran insaniah.

· Kontradiksi jelas dengan penilaian antarabangsa kerana jenis soalan tidak menitikberatkan pengetahuan kurikulum akan tetapi memerlukan kemahiran mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari untuk berhadapan cabaran kehidupan seharian (real life situation).

· Oleh itu, sistem pendidikan Malaysia berhadapan cabaran untuk mengubah mentaliti masyarakat berkaitan kepentingan kecemerlangan akademik semata-mata.

· Mengubah mentaliti masyarakat adalah penting kerana memberi impak terhadap pencapaian pelajar.

· Komponen masyarakat konteks tersebut merujuk kepada ibu bapa. Pemikiran tertutup ibu bapa yang menganggap bahawa kecemerlangan bergantung pada bilangan A dalam peperiksaan mempengaruhi cara didikan terhadap anak.

· Corak didikan berdasarkan keperluan bilangan A dalam peperiksaan pula merencatkan prestasi Malaysia dalam penilaian antarabangsa.

· Berikutan itu, ibu bapa sewajarnya mengubah pemikiran sedemikian.

· Contohnya, peka terhadap masalah peningkatan jumlah pengangguran dalam kalangan siswazah kerana kekurangan kemahiran insaniah walaupun mempunyai segulung ijazah kecemerlangan akademik.

· Menyingkap kepentingan tersebut adalah bertujuan memastikan kesinambungan sumber manusia pada masa hadapan mencapai tahap kebolehpasaran secara global selain memacu iltizam kedudukan sepertiga teratas kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa (Nooriah Yusof, Zakiah Jamaluddin dan Norain Mat Lazim, 2013).


3.6 KESIMPULAN

· Secara keseluruhannya, perubahan sistem pendidikan sesebuah negara tidak harus melebihi kualiti seseorang guru.

· Kualiti guru pula akan memberi suatu keberhasilan terhadap pelajar dalam pendidikan.

· Usaha meningkatkan tahap keberhasilan dalam diri pelajar hendaklah disertakan komitmen padu kalangan masyarakat khususnya ibu bapa.

· Manakala, kekurangan infrastruktur sesebuah sekolah juga hendaklah dinaik taraf agar tidak menjadi kekangan terhadap guru dan pelajar dalam merealisasikan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa.

· Oleh itu, semua pihak hendaklah berganding bahu berada di landasan menongkah cabaran tersebut.

· Sekiranya keadaan tersebut tidak ditangani, sistem pendidikan Malaysia akan menerima impak negatif dalam jangka masa panjang.

· Maka, hasrat untuk menduduki sepertiga teratas akan terbantut kerana tiada gemblengan semua pihak dan langkah proaktif yang dititikberatkan.

· Tahap ketersediaan semua pihak harus ditingkatkan mengikut peredaran zaman globalisasi yang kian mencabar pada alaf ke-21.

 

RUJUKAN

Andreas Schleicher. 2016. Teaching Excellence through Professional Learning and Policy Reform: Lessons from Around the World, International Summit on the Teaching Profession. OECD Publishing, Paris.

Habib Mat Som, Megat Ahmad Kamaluddin Megat Daud. (2008). Globalisasi dan Cabaran Pendidikan di Malaysia. Masalah Pendidikan, 31(1), 91-101.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2016. Dokumen Awal Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan Kementerian Pendidikan Malaysia. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia. Diakses dari https://www.moe.gov.my/menumedia/mediacetak/penerbitan/dasar/1200-dokumen-awal-pelan-induk-pembangunanprofesionalisme-keguruan-pippk/file. Pada 17 Mei 2022.

Mohd Erfy Ismail, Mohd Ali Samsudin & Ahmad Nurulazam Md Zain. 2014. A Multilevel Study on Trends In Malaysian Secondary School Students' Science Attitude: Evidence From Timss 2011. International Journal Of Asian Social Science, Vol. 4: 572-584.

Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh. 2009. Pengajaran dan pembelajaran: teori dan praktis. McGraw Hill, Kuala Lumpur.

Nooriah Yusof, Norain Mat Lazim & Zakiyah Jamaluddin, 2013. Persepsi Pelajar Prasiswazah terhadap Program Pembangunan Kebolehpasaran Siswazah: Kes Universiti Sains Malaysia. Jurnal Antarabangsa Alam Sekitar, Masyarakat dan Ruang, 2013, Vol. 1(1):43-61.

Noraini Idris & Shuki Osman. 2009. Pengajaran dan pembelajaran: teori dan praktis. Kuala Lumpur: McGraw-Hill.

OECD. 2016.  Development Co-operation Report 2016: The Sustainable Development Goals as Business Opportunities, OECD Publishing, Paris, Diakses pada https://doi.org/10.1787/dcr-2016-en. Pada 16 Mei 2022.

Saharia Hj. Ismail. (2015). Pembangunan Insan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Journal of Human Capital Development. 8(2), 83-99.

Syahirah Rosli, Siti Fairuz Mahmud, Mohd Edyazuan Azni. (2022). Mengintegrasi Falsafah Pendidikan kebangsaan (FPK) dalam Membangunkan Modal Insan Bersepadu. Jurnal Dunia Pendidikan. 4(1), 86-103.

Tengku Zawawi Tengku Zainal, Ramlee Mustapha & Abdul Razak Habib. 2009. Pengetahuan pedagogi isi kandungan guru matematik bagi tajuk pecahan: Kajian kes di sekolah rendah. Jurnal Pendidikan Malaysia, Vol. 34 (1): 131-153.

Teuku Iskandar. 2015. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.